Welcome to my site

Selamat datang ke Brillante Blog. Jangan malu-malu untuk tinggalkan komen anda.

Media massa merangsang seks bebas

Monday, January 11, 2010

Pornografi menjadi sebuah industri yang besar pada hari ini. Segala bentuk media massa digunakan bagi menyalurkan adegan-adegan lucah. Pada tahun 2003, 83% episod yang ditayangkan dalam 20 rancangan TV yang diminati remaja belasan tahun di Amerika mengandungi gambar-gambar lucah dan 20% daripadanya menunjukkan adegan hubungan seks secara jelas. Di samping itu, unsur-unsur seks juga terdapat dalam lagu-lagu yang diminati remaja pada hari ini. Sebagai contoh, pada tahun 1999, 42% daripada lagu-lagu Inggeris yang popular mengandungi lirik-lirik lucah dan 19% daripadanya menceritakan mengenai hubungan seks. Hal ini dinyatakan di Focus Adolescent Services (Online) di http://www.focusas.com/

Pada hari ini, antara media yang begitu ghairah memaparkan gambar-gambar dan adegan-adegan lucah adalah internet. Mengikut Internet Filter Review 2006, di bawah tajuk Internet Pornography Statistics, terdapat 4.2 juta laman web dengan 372 juta helaian keseluruhannya (pages) yang memaparkan adegan-adegan lucah di seluruh dunia. Dalam masa setahun, jumlah mereka yang menziarahi laman-laman web lucah ini mencecah 72 juta orang. Kebanyakan pelanggan yang menziarahi laman-laman ini adalah remaja dalam lingkungan umur 12 hingga 17 tahun.

Kajian yang dilakukan oleh MSNBC pada tahun 2004 ke atas 15 000 pengguna internet mendapati, 32% daripada golongan wanita dan 13% daripada pihak lelaki berpendapat internet menggalakkan penzinaan. Dalam kajian yang lain yang dimuatkan di BBC News Online, 30% pengguna internet yang bercinta melalui internet kemudiannya menemui kekasih mereka dan berzina di alam nyata.

Kajian di Britain menunjukkan fenomena ini menjadi sebab musabab meningkatnya peratus perceraian dalam masyarakat. Hal ini didedahkan di dalam buku bertajuk In Bed With The Web: Internet And The New Adultery. Salah seorang penulis buku ini adalah Yannick Chatelain.

Industri pornografi begitu menguntungkan. Ia mendatangkan pulangan haram yang lumayan. Mengikut Internet Filter Reviews 2006, industri pornografi mengaut keuntungan keseluruhan berjumlah $57 bilion dalam masa setahun, majoritinya (iaitu $20 bilion), melalui video-video seks lucah.

Benarlah kata nabi yang bermaksud "Akan muncul daripada umatku mereka yang menghalalkan perbuatan zina, menghalalkan sutera bagi lelaki, meminum arak dan lagu-lagu yang melalaikan". Hadis ini direkodkan oleh Bukhari.

Secara dasarnya, Islam mengutuk segala bentuk penzinaan dan segala perkara yang membawa kepadanya diharamkan oleh Islam. Allah menjelaskan dalam surah al-Israk ayat 32, "Dan janganlah kamu mendekati zina. Sesungguhnya zina adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk".

Oleh sebab aspek pemeliharaan keturunan adalah penting dalam Islam, syariat Islam memeliharanya dengan mengizinkan pergaulan serta percampuran antara lelaki dan perempuan melalui perkahwinan yang sah. Sebaliknya, mereka yang berzina dihukum dengan keras oleh agama.

Sebenarnya, alat kelamin adalah amanah. Justeru, ia perlu dipelihara berpandukan landasan syariat. Berhubung dengan ini sahabat Abdullah bin Amr bin al-As berkata, "Amanah adalah alat kelamin manusia. Sekiranya manusia mampu menjaga amanah ini, Allah akan memelihara dirinya dan keturunannya". Artikel ini diperoleh daripada buku hasil tulisan Dr. Danial Zainal Abidin yang bertajuk QURAN SAINTIFIK : Meneroka Kecemerlangan Quran Daripada Teropong Sains.

0 comments:

Post a Comment