Welcome to my site

Selamat datang ke Brillante Blog. Jangan malu-malu untuk tinggalkan komen anda.

Adakah graduan tajaan KPM diserap automatik?

Saturday, January 9, 2010

Aku pernah terbaca satu blog yang mempersoalkan pelajar tajaan KPM mungkin diserap sebagai guru secara automatik. Penulis blog tersebut memberi alasan bahawa tidak semua pelajar tajaan KPM mendapat keputusan yang bagus dan ramai juga pelajar bukan tajaan KPM mendapat keputusan bagus atau 'first class'. Menurutnya lagi, pelajar yang mendapat keputusan 3.7 ke atas adalah lebih berkualiti dan berkredibiliti untuk diserapkan sebagai guru di sekolah.
Pertama sekali, memang benar bukan semua pelajar tajaan KPM mendapat keputusan yang bagus dalam peperiksaan. Namun, harus diingat bahawa untuk mendapat biasiswa daripada KPM, kita harus menduduki ujian INSAK dan temuduga. Penulis blog berkenaan juga berkata tidak semua orang menjawab soalan INSAK dengan jujur. Hal ini memang ada kebenarannya. Tetapi, bagaimana pula dengan ujian MedSI yang dilaksanakan oleh pihak universiti sebelum mengambil pelajar memasuki UPSI?

Adakah semua orang yang berjaya memasuki UPSI tidak menjawab soalan MedSI dengan jujur? Kalau begitu, lebih baik tidak diadakan ujian MedSI. Ujian MedSI atau INSAK ini sebenarnya diadakan untuk mengetahui personaliti yang terdapat pada diri kita. Adakah personaliti itu selari dengan tugas yang akan kita laksanakan selepas 'posting' nanti. Jika seseorang itu berjaya melepasi ujian MedSI atau INSAK, dia perlu menghadapi satu lagi ujian iaitu temuduga. Sewaktu temuduga inilah penemuduga akan melihat dengan lebih dekat personaliti kita. Ada juga pelajar yang melepasi ujian MedSI atau INSAK, namun mereka terkandas ketika ditemuduga.

Selain itu, aku juga ingin tegaskan di sini bahawa bukan semua pelajar tajaan KPM akan diserap secara automatik. Aku pernah mengajukan perkara ini kepada penemuduga dan jawapannya ialah "kamu harus ingat bahawa kamu belum terjamin lagi akan 'dipostingkan' jika kamu berjaya mendapat tajaan daripada KPM". Hal ini menunjukkan bahawa pelajar tajaan KPM tidak akan diserap secara automatik. Mereka juga perlu melalui temuduga seperti pelajar lain. Jika lulus temuduga, maka mereka akan 'dipostingkan'.

Akhir sekali, aku juga ingin memperbetulkan kenyataan yang dibuat di dalam laman blog tersebut iaitu pelajar yang mendapat 'first class' lebih berkredibiliti berbanding pelajar yang mendapat pointer rendah. Harus diingat bahawa tidak semestinya pelajar yang mendapat 3.7 ke atas dapat 'perform' dengan baik apabila diserap sebagai guru. Tugas sebagai guru memerlukan kemahiran dan pengalaman. Ada juga pelajar yang mendapat 'first class' gagal untuk 'dipostingkan' kerana tidak berjaya semasa temuduga. Mereka tidak dapat menjawab dengan baik soalan yang diajukan oleh penemuduga. Jadi janganlah menyalahkan pelajar yang mendapat tajaan KPM kerana kami mendapat biasiswa ini dengan usaha sendiri. Kami juga tidak mendapat apa-apa keistimewaan selain daripada tidak perlu membayar kembali wang yang diberikan kepada kami. Itu saja.. Harap semua orang memahami...

0 comments:

Post a Comment