Welcome to my site

Selamat datang ke Brillante Blog. Jangan malu-malu untuk tinggalkan komen anda.

Akademik atau sukan?

Sunday, January 17, 2010


MUNGKIN telah tiba masanya untuk Kementerian Pelajaran untuk membangunkan kurikulum khas untuk pelajar yang ingin melibatkan diri dalam sukan secara serius dan profesional.


Bermula daripada darjah satu, ibu bapa atau penjaga yang mahukan anak mereka menjadi atlet cemerlang perlu memberi persetujuan secara bertulis untuk mengikuti program khas berkenaan. Ia juga sejajar dengan usaha mentransformasi sistem pendidikan negara agar tidak terlalu bberorientasikan pendidikan.


Pelajar yang mengikuti kurikulum itu tidak lagi perlu dibebani dengan pencapaian akademik. Penilaian mereka berdasarkan kecemerlangan dalam sukan yang mereka pilih dan sertai. Bukan lima A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tetapi pingat emas dan piala kejuaraan.


Dengan ini, pelajar akan lebih fokus dalam latihan dan tidak lagi perlu mengulang kaji pelajaran selepas penat berlatih. Bagaimanapun pendidikan asas yang melibatkan kemahiran membaca, menulis dan mengira tidak boleh diabaikan. Hal ini penting untuk mereka mengikuti perkembangan semasa dan menguruskan kewangan masing-masing apabila dewasa kelak.


Paling utama, kehadiran kumpulan pelajar khas ini akan memudahkan guru menyediakan pemain untuk menyertai sebarang pertandingan atau kejohanan sukan tanpa menjejaskan jadual waktu pelajar lain.


Perkara ini sering menjadi pertikaian dan dilema kepada guru kokurikulum khususnya ketika menjelang hari sukan atau pertandingan antara sekolah di peringkat zon, daerah mahupun negeri.


Dalam konteks ini, perlawanan hendaklah diadakan secara liga - bukan kalah mati. Pertambahan bilangan perlawanan akan meningkatkan kemahiran pelajar dalam sesuatu acara sukan tersebut. Jumlah kejohanan dan pertandingan sukan juga perlu diperbanyakkan untuk meningkatkan persaingan. selain itu, ia boleh dijadikan faktor pemilihan ke sekolah sukan, sekolah kluster dan sekolah berasrama penuh.


Kesinambungan ini penting sebagai galakan dan pendorong kepada ibu bapa agar memilih sukan untuk kerjaya anak mereka. Tambahan pula, kini sukan bukan sekadar satu permainan tetapi telah menjadi satu perniagaan.


Sukan menjanjikan pulangan yang lumayan. Lihat sahaja Christiano Ronaldo, Michael Schumacher dan Maria Sharapova (sekadar menyebut beberapa nama) yang cemerlang, ternama dan kaya-raya.


Pendapatan atlet ini dijana daripada hadiah kemenangan, penajaan dan yuran penampilan. Kita juga ada bintang yang bergelar jaguh dan pemain nombor satu dunia, misalnya Datuk Nicol Ann David (skuasy) dan Datuk Lee Chong Wei (badminton).


Tanpa prejudis dan mempertikaikan keputusan akademik atlet-atlet ini, kita sebenarnya tidak pernah peduli dengan keputusan peperiksaan atau pencapaian akademik mereka. Segalanya 'terlindung' di sebalik kegemilangan yang mereka capai setelah berusaha daripada usia muda.


Kejayaan yang sama pernah dirasai oleh anak-anak Sidek dalam badminton, Nurul Huda Abdullah dalam renang dan Shalin Zulkifli dalam bowling. Mereka ada satu persamaan - ibu bapa mereka memilih untuk melatih anak mereka untuk cemerlang dalam sukan sejak awal.


Ganjaran yang diterima oleh atlet ini juga bukan calang-calang. Sejak 2005, kerajaan memperkenalkan skim pencen untuk pemenang pingat Olimpik.


Pemenang pingat emas menerima RM3,000 setiap bulan, diikuti RM1,500 untuk perak dan RM1,000 gangsa.


Bagi skim insentif Olimpik pula, pemenang pingat emas Olimpik akan menerima habuan RM160,000, manakala pingat perak dan gangsa, menawarkan RM80,000 dan RM40,000 masing-masing.


Terkini kerajaan sedang mengkaji untuk memberi gaji bulanan kepada pemenang pingat Olimpik. Kepada ibu bapa, kenali potensi anak dan buat pilihan yang tepat - akademik atau sukan?

SPM 2010 Ikut Formula 10 + 2


KEMENTERIAN Pelajaran Malaysia (KPM) memperkenalkan Formula 10 + 2 iaitu dasar mengehadkan 10 mata pelajaran dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diputuskan terdahulu, adalah kekal tetapi kelonggaran diberi kepada pelajar bagi mengambil tidak lebih daripada dua mata pelajaran tambahan seperti dinyatakan sahaja.


Perkara itu adalah hasil keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 4 Disember 2009 untuk menerima rayuan pelbagai pihak agar calon SPM dibenarkan mengambil dua lagi mata pelajaran tambahan mulai tahun peperiksaan 2010.


Dua mata pelajaran tambahan tersebut adalah Bahasa Cina dan Kesusasteraan Cina atau Bahasa Tamil dan Kesusasteraan Tamil. Sementara itu, calon-calon SPM yang mengambil aliran agama sains pula dibenarkan mengambil Bahasa Arab sebagai salah satu mata pelajaran tambahan.


Kelonggaran itu boleh diguna pakai bagi semua pelajar di semua aliran. Syarat-syarat lain pengambilan mata pelajaran dalam peperiksaan SPM, termasuk syarat mata pelajaran teras dan mata pelajaran elektif sedia ada dikekalkan.


Formula 10 + 2 diterima oleh kerajaan dengan syarat mata pelajaran tambahan yang dinyatakan akan hanya diambil kira dalam penganugerahan Biasiswa Nasional tajaan Kerajaan sekiranya ia termasuk dalam 10 mata pelajaran maksimum yang diambil oleh murid.


Selain itu mata pelajaran tambahan tersebut hanya diambilkira dalam pengiraan mata, bagi tujuan kemasukan ke kursus-kursus Pengajian Bahasa Tamil, Bahasa Cina, Bahasa Arab atau kursus-kursus berkaitan di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).


Kedua-dua mata pelajaran tambahan itu boleh digunakan bagi menyertai latihan perguruan untuk menjadi guru bahasa Cina, bahasa Tamil atau bahasa Arab.


Keputusan dalam peperiksaan SPM bagi kedua-dua mata pelajaran tambahan itu akan dicatakan di atas sijil SPM yang sama.


Dengan formula 10 + 2 itu, diharap tidak timbul lagi masalah pelajar yang tidak dibenarkan mengambil mata pelajaran Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Kesusasteraan Cina dan Kesusasteraan Tamil.


Selain itu, pelajar aliran agama sains juga boleh mengambil mana-mana 10 mata pelajaran dan satu mata pelajaran tambahan iaitu Bahasa Arab walaupun selepas 2010.


Keputusan kerajaan membenarkan dua mata pelajaran tambahan dalam peperiksaan SPM ini adalah selaras dengan peruntukan Akta Pendidikan 1996 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

Kemahiran Belajar

Thursday, January 14, 2010


Langkah -langkah Bijak Menjelang Peperiksaan

1. Bertenang dan melapangkan fikiran.
2. Melakukan ulang kaji bagi topik-topik yang penting.
3. Tidur yang mencukupi..
4. Menjaga kesihatan diri.
5. Menjaga pemakanan dengan memakan makanan yang berkhasiat dan berzat.
6. Bagi pelajar Islam, perbanyakkan sembahyang hajat .
7. Membuat dan membaca nota-nota ringkas.
8. Mengadakan senaman kesihatan fizikal untuk mengeluarkan peluh.
9. Beriadah dan berekreasi di tempat-tempat yang sesuai kerana badan yang cergas akan
merangsang kecerdasan otak.
10. Meminta doa dan restu ibu bapa dan guru-guru.
11. Belajar pada waktu yang difikirkan sesuai.
12. Mengkaji bentuk-bentuk soalan peperiksaan dengan bantuan guru dan rakan-rakan.
13. Menjawab soalan yang sama seperti format peperiksaan sebenar.
14. Datang lebih awal ke dewan peperiksaan sebelum peperiksaan bermula.
15. Menyediakan segala kelengkapan peperiksaan yang diperlukan.
16. Bersarapan sebelum masuk ke dewan peperiksaan dengan sarapan yanag berzat supaya
tenaga fizikal dan minda cukup untuk menghadapi peperiksaan.
17. Elakkan mengadakan perbincangan tentang topik-topik hangat atau kaedah menjawab
sebelum dan selepas peperiksaan.
18. Mematuhi arahan peperiksaan yang telah ditetapkan.
19. Membaca dengan teliti setiap arahan yang terdapat pada setiap kertas soalan.
20. Menjawab soalan berpandukan soalan yang telah dipilih.
21. Pastikan pelajar menjawab semua soalan yang dikemukakan mengikut arahan yang
dinyatakan.

Ciri-ciri Pelajar yang Cemerlang



1. Optimistik
Pelajar yang cemerlang sentiasa yakin pada potensi diri sendiri untuk boleh
menempah kejayaan dalam pendidikan. Keyakinan ini akan memberi suntikan
semangat dalaman pada diri anda sendiri. Katakan 'aku BOLEH!'


2. Jangan bersikap pesimistik
Pelajar cemerlang tidak bersikap pesimistik iaitu sentiasa putus harapan dan
mengalah sebelum mula berjuang. Jangan lemahkan semangat anda sendiri.
Jangan meramalkan kekalahan sebelum mula berperang. Kalau anda tidak
mencuba maka kekalahan sebenarnya sudah pasti dalam tangan. Belum cuba
belum tahu.


3. Kesedaran memikul tanggungjawab
Pelajar yang cemerlang mempunyai kesedaran dan kesediaan untuk memikul
tanggungjawab sebagai seorang pelajar yang menjadi harapan agama,
bangsa, negara, keluarga dan masyarakat pada masa akan datang. Maruah
keluarga, masyarakat dan negara pada masa akan datang bergantung pada
generasi remaja masa kini. Pelajar yang cemerlang ialah pelajar yang sedar
hakikat ini. Pelajar yang menyedari hakikat ini sudah pasti akan berusaha
lebih gigih agar matlamat tersebut tercapai.


4. Tumpuan sepenuh hati
Pelajar yang cemerlang memerikan tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran
semasa mengikuti pengajaran guru di kelas. Sikap main-main sambil belajar
adalah sikap pelajar yang kurang berjaya. Pelajar yang suka bermain-main
dalam kelas semasa guru mengajar adalah pelajar yang bakal menjadi orang
yang dipermainkan oleh golongan 'terpelajar' pada suatu masa kelak. Malah
lebih malang kalau suatu hari nanti mereka dipermainkan oleh golongan tidak
terpelajar seperti mereka sendiri.


5. Mulakan dari awal
Pelajar yang cemerlang membuat persediaan awal apabila akan menghadapi
peperiksaan tidak kira sama ada ujian bulanan, peperiksaan penggal atau
peperiksaan yang sebenarnya. Persediaan awal akan membezakan pelajar
yang berjaya dengan yang gagal. Persediaan awal ini termasuklah
mengadakan ulangkaji, berbincang dengan rakan-rakan, meminta nasihat
guru, meneliti buku-buku model jawapan dan sebagainya lagi. Jangan jadi
'bidan terjun' ke dewan peperiksaan.


6. Sentiasa bersedia
Pelajar yang cemerlang sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi sebarang
bentuk ujian atau peperiksaan yang bakal diadakan oleh pihak sekolah (ujian
bulanan, peperiksaan penggal) atau oleh pihak kementerian (peperiksaan
yang sebenarnya). Pelajar yang berjaya ialah pelajar yang sanggup dan
mampu menghadapi peperiksaan bila-bila masa sahaja. Bersediakah anda
andainya peperiksaan diadakan esok? Pelajar cemerlang akan berkata 'Ya!'
Kalau anda peminat 'The Rock' anda akan berkata 'Just bring it on..!'


7. Lengkapkan peralatan
Pelajar yang cemerlang menyediakan keperluan peralatan belajar yang
mencukupi seperti buku-buku rujukan, buku latihan, alat-alat tulis, nota-nota
ringkas, dan sebagainya lagi. Semangat sahaja tidak mencukupi untuk
mencapai kejayaan. Kelengkapan yang tidak cukup akan menyusahkan
pembelajaran dan mungkin memanaskan hati anda atau melemahkan
semangat untuk terus belajar. Cuba bayangkan, anda ingin basuh tangan
selepas makan tetapi tiada air. Tidakkah anda rasa 'bengang'?


8. Tepati waktu belajar
Pelajar yang cemerlang menepati waktu belajar yang telah ditetapkan oleh
pihak sekolah seperti datang ke sekolah dalam waktu yang ditetapkan dan
pulang hanya setelah dibenarkan. Ini akan melatih pelajar menjadi seorang
yang berdisiplin. Apabila sikap disiplin telah tersemai dalam jiwa pelajar,
maka mudahlah bagi pelajar untuk mendisiplinkan diri dalam pembelajaran.


9. Dapatkan bantuan guru
Pelajar yang cemerlang mendapatkan bantuan guru atau kawan-kawan
sekelas yang lain apabila gagal mengikuti kelas di atas sebab-sebab tertentu.
Misalnya apabila pelajar sakit dan tidak dapat hadir ke kelas, pelajar perlulah
mendapatkan bantuan kawan-kawan untuk mendapatkan nota-nota
pelajaran, atau mendapatkan penerangan guru bagi pelajaran yang telah
tertinggal itu.


10. Hormati guru
Pelajar yang cemerlang sentiasa menghormati guru sama ada semasa guru
sedang mengajar di dalam kelas atau sewaktu berada di luar kelas. Guru
adalah sumber ilmu. Oleh itu sentiasalah menghormati guru yang
memberikan kita ilmu.


11. Bersoal jawab dengan guru
Pelajar yang cemerlang bersoal-jawab dengan guru untuk memahami
pelajaran yang telah diajar. Malah ahli falsafah Yunani yang terkenal bernama
Socrates pernah berkata 'carilah ilmu pengetahuan dengan cara bersoaljawab'.


12. Beri pandangan membina
Pelajar yang cemerlang sering memberi pandangan dan pendapat dalam
proses pembelajaran. Ini kerana dengan cara memberikan pandangan, rakanrakan
pelajar dan pelajar sendiri akan semakin memahami pelajaran tersebut.
Amalan ini juga dapat melatih dan mengasah daya ketajaman pemikiran
pelajar.


13. Berbncang dengan rakan
Pelajar yang cemerlang sering berbincang dengan rakan-rakan tentang
pelajaran yang telah dipelajari. Ini biasanya dilakukan dalam kelas-kelas
perbincangan, kelas tambahan atau dalam kumpulan studi. Perbincangan
akan memantapkan lagi kefahaman terhadap sesuatu pelajaran.


14. Siapkan tugasan yang diberi
Pelajar yang cemerlang menyiapkan tugasan yang telah diberi oleh guru sama
ada kerja dalam kelas atau kerja rumah, dalam tempoh yang ditetapkan oleh
guru berkenaan. Pelajar yang berjaya adalah pelajar yang sering menyiapkan
tugasan yang diberikan oleh guru mereka.


15. Tubuhkan kumpulan studi
Pelajar yang cemerlang mengadakan kumpulan perbincangan (study group)
bersama rakan-rakan yang mempunyai visi dan agenda yang sama iaitu
kejayaan dalam peperiksaan. Tapi jangan tubuhkan kumpulan studi yang
akhirnya menjadi kumpulan bersembang! Carilah rakan-rakan yang ragin dan
gigih. Tinggalkan rakan-rakan yang hanya suka temberang.


16. Sering masuk perpustakaan
Pelajar yang cemerlang menjadikan perpustakaan sekolah dan perpustakaan
yang lain sebagai gedung ilmu pengetahuan untuk dikunjungi dan
mendapatkan buku-buku untuk dipinjam. Perpustakaan adalah gedung ilmu.
Perpustakaan juga adalah tempat yang sangat sesuai untuk anda mentelaah
pelajaran.


17. Baca akhbar
Pelajar yang cemerlang membaca akhbar atau majalah-majalah akademik
untuk mendapatkan ilmu pengetahuan tambahan. Secara khususnya ini
merujuk kepada isu-isu am dan rencana ilmiah dan bukan ruangan gossip
atau artis.


18. Menonton rangcangan yang sesuai
Pelajar yang cemerlang menonton rancangan televisyen yang sesuai untuk
mendapatkan pengetahuan seperti Rancangan Pendidikan, Berita dan lain-lain
lagi. Antara lain adalah rencana pengetahuan (seperti 'Discovery') dan berita
semasa.


19. Lakukan peperiksaan kendiri
Pelajar yang cemerlang mengadakan ujian dan peperiksaan kendiri (sendiri)
seperti dibuat dalam peperiksaan sebenarnya, untuk dijadikan sebagai
pengukuhan pembelajaran. Pelajar juga perlu menganggapkan ujian dan
peperiksaan yang diambil itu adalah ujian dan peperiksaan yang sebenarnya.
Jika gagal bererti anda gagal dalam peperiksaan yang sebenar. Melakukan
peperiksaan kendiri samalah seperti masuk ke klinik. Anda akan diberi tahu
tentang 'penyakit' anda (kelemahan-kelemahan anda). Selepas itu, pandaipandailah
cari ubatnya.


20. Sediakan jadual waktu
Pelajar yang cemerlang menyediakan jadual waktu untuk merancang
pembelajaran pelajar di luar sekolah. Minta nasihat guru atau abang-abang
yang berpengalaman untuk mendapatkan corak jadual yang sesuai dan
efektif. Jadual ini mestilah dipatuhi.


21. Sertai ceramah motivasi
Pelajar yang cemerlang mengikuti ceramah-ceramah motivasi yang diadakan
untuk melahirkan semangat dan keyakinan diri.


22. Sertai seminar peperiksaan
Pelajar yang cemerlang mengikuti seminar-seminar peperiksaan yang
diadakan bagi memahami teknik-teknik menjawab soalan peperiksaan.
Sertainya seminar-seminar yang dikendalikan oleh orang yang pakar dalam
bidang masing-masing. Selain daripada pengalaman, anda juga mungkin
menerima pelbagai tips dan petua berguna.


23. Beli buku rujukan
Pelajar yang cemerlang membeli buku-buku rujukan yang sesuai. Ini dapat
memantapkan persediaan pelajar. Minta bantuan guru untuk mendapatkan
senarai buku-buku rujukan pilihan untuk subjek-subjek tertentu. Ingat
pepatah Inggeris, "Don't judge the book by its cover." Buku yang kelihatan
cantik menawan tidak semestinya baik. Hanya guru yang lebih memahami
kualiti sesuatu buku rujukan.


24. Masuk kelas tuisyen
Pelajar yang cemerlang mengikuti kelas-kelas tuisyen untuk menambahkan
lagi pengalaman dan kecekapan pelajar dalam pelajaran.


25. Lawatan ke pameran buku
Pelajar yang cemerlang mengadakan lawatan ke pameran-pameran buku
yang diadakan. Kalaupun anda tidak membeli, sekurang-kurangnya jiwa anda
akan hampir pada buku dan ilmu. Jika anda selalu menziarah sumber ilmu,
ilmu itu pula akan sering menziarahi anda. Kalau anda masuk ke kedai
minyak wangi, keharumannya akan terlekat juga. Kalau anda masuk ke
kandang najis... (fikirlah sendiri)


26. Sertai kokurikulum sekolah
Pelajar yang cemerlang menyertai pelbagai aktiviti sekolah secara aktif dalam
kokurikulum. Badan yang cergas akan menghasilkan otak yang sihat. Otak
yang sihat pula akan melahirkan pemikiran yang lancar. Otak yang berkarat
akan melahirkan pemikiran yang lembab.


27. Sanggup manghadapi cabaran
Pelajar yang cemerlang perlu sanggup menghadapi cabaran luaran yang
hebat yang sering cuba mengganggu penumpuan pelajar pada pelajaran atau
cuba mengurangkan minat pelajar untuk belajar. Antara cabaran luaran yang
dimaksudkan itu adalah hiburan, aktiviti sukan yang berlebihan, amalan suka
melepak dan membuang masa dan gangguan kawan-kawan yang suka
mengajak pelajar melakukan perkara-perkara yang kurang berfaedah. Rayuan
kekasih atau buah hati juga kadangkala merupakan dugaan yang maha
hebat. Pandai-pandailah membawa diri.


28. Jaga keselamatan diri
Pelajar yang cemerlang menjaga keselamatan diri dengan mengelakkan
sebarang bentuk bahaya yang dapat mengancam tubuh fizikal pelajar.
Misalnya, jangan bermain dengan api, elektrik atau mercun. Bayangkanlah
jika pelajar kehilangan jari tangan kanan dalam kemalangan.


29. Jaga kesihatan fizikal
Pelajar yang cemerlang menjaga kesihatan tubuh badan dengan cara
menghindari sebarang bentuk penyakit. Makan makanan yang berzat.
Kurangkan makanan ringan atau 'junk-food'. Hindari makan di gerai-gerai
yang kotor atau membeli kueh-kueh yang terdedah tanpa ditutup. Jangan
berjaga sepanjang malam. Ini boleh menjejaskan kesihatan.


30. Makanan seimbang
Pelajar yang cemerlang menjaga dan mengawal pemakanan dengan
memakan makanan yang seimbang. Ini akan menjamin kesihatan badan yang
baik dan otak yang dapat berfikir dengan lebih lancar. Pilih jenis makanan
yang sesuai untuk minda dan kesihatan tubuh badan.


31. Malu bertanya sesat jalan
Pelajar yang cemerlang tidak segan untuk menimba pengalaman daripada
pelajar-pelajar yang telah berjaya dalam peperiksaan. Jadikan abang-abang
dan kakak-kakak yang telah berjaya itu sebagai model atau contoh pelajar
cemerlang. Perhatikan ciri dedikasi dan disiplin mereka dalam menghadapi
peperiksaan. Pengalaman mereka yang telah berjaya itu sungguh berharga
untuk pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan.


32. Sembahyang
Pelajar yang cemerlang menjaga sembahyangnya. Bagi pelajar Islam,
tunaikan sembahyang lima waktu seperti mana yang telah disyariatkan oleh
agama. Bagi pelajar bukan Islam yang lain, lakukan amalan ibadat agama
masing-masing.


33. Doa
Pelajar yang cemerlang sentiasa berdoa dan mengharapkan pertolongan
daripada Tuhan. Aspek kerohanian ini juga sama penting dengan aspek
jasmani dan minda pelajar.


34. Tawakkal
Pelajar yang cemerlang berserah diri kepada Tuhan dan tidak putus asa jika
gagal. Apabila menghadapi kegagalan, berusahalah lagi dengan menjadikan
kegagalan itu sebagai iktibar dan panduan untuk lebih berjaya. Jadikan
semua bentuk kegagalan sebagai pengukuh diri untuk mencari kejayaan yang
lebih cemerlang.

Hikmah menutup aurat

Tuesday, January 12, 2010

Sebelum bersolat umat Islam wajib menutup aurat. Tanpanya, solat seseorang tidak sempurna dan dianggap tidak sah. Secara dasarnya, umat Islam yang sudah baligh, tidak kira lelaki atau perempuan wajib menutup aurat mereka mengikut batas-batas yang ditetapkan oleh agama.
Lebih daripada itu, perhiasan yang terdapat di bahagian muka dan dua tangan seperti cincin, celak, inai dan seumpamanya boleh didedahkan apabila berdepan dengan mereka yang bukan muhrim. Kesemua pendapat ini disebutkan oleh As-Syeikh Said Hawa di dalam al-Asas fi al-Tafsir.
Islam tidak menghalang wanita-wanitanya berpakaian mengikut fesyen dan suasana asalkan ia menutup aurat dan tidak menjolok mata. Hamka di dalam Tafsir al-Azhar berkata, "Tidaklah semua pakaian barat itu ditolak oleh Islam dan tidak pula seluruh pakaian tempatan negeri kita dapat diterima. Kebaya jawa yang menampakkan sebahagian dada tanpa selendang adalah termasuk pakaian yang dilarang mengikut pandangan Islam".
Di sudut psikologi, menutup aurat bagi wanita Islam adalah lambang ketinggian maruah dan harga diri yang tidak dipentingkan oleh wanita-wanita jahiliah. Ia bukannya lambang penindasan bagi wanita. Beberapa golongan di barat mula mengagumi ajaran Islam berhubung dengan wanitanya.
Menutup aurat membuka kewanitaan dan kemuliaan. Sebagai contoh, R. Stevenson menulis dalam Toronto Star bertarikh 23 Januari 2002 berhubung dengan etika pemakaian wanita Islam. Beliau berkata, "Ketika saya dan rakan-rakan sedang makan malam di sebuah restoran, kami duduk bersebelahan dengan tiga orang wanita muda. Tiba-tiba dua orang wanita Islam masuk dengan pakaian yang agak konservatif dan duduk bersebelahan dengan mereka.
Kami dapat mendengar ketiga-tiga wanita tadi berbisik-bisik sesama sendiri berhubung kedua-dua wanita Islam itu, 'Mengapa mereka berpakaian begitu? Saya bersimpati dengan mereka!' Ketiga-tiga wanita (barat) itu akhirnya membayar bil dan terus beredar. Mereka memakai seluar yang ketat, skirt yang singkat, kasut bertumit tinggi, gincu yang tebal dan bahagian dada mereka didedahkan secara yang mengghairahkan.
Kami alihkan pandangan kami kepada kedua-dua wanita Islam tadi. Tudung mereka yang hitam menzahirkan peribadi mereka yang bersopan santun. Gaya mereka nampak asli. Pakaian mereka, walaupun konservatif, menampakkan sifat kewanitaan yang indah. Berpakaian secara sopan menakutkan wanita barat. Kenapa? Adakah kerana mereka tidak mahu kehilangan hak bagi menunjuk-nunjuk?
Selepas kami berbincang isu ini, kami merumuskan, wanita-wanita Islam berjaya membebaskan diri mereka daripada perangkap fesyen tanpa perlu menunjuk-nunjuk, bersaing, berbelanja lebih dan berdiet bagi menarik perhatian kaum lelaki ataupun wanita. Kami mendapati kedua-dua wanita Islam itu lebih menarik sekiranya dibandingkan dengan ketiga-tiga wanita barat tadi.
Penonjolan seks dalam masyarakat kita sudah menjadi suatu budaya arus perdana sehingga kita menganggap adab dan sopan santun suatu kemunduran. Dalam konteks jangka panjang, apabila kaum lelaki melihat secara yang lebih jauh (mengatasi seluar ketat dan tumit tinggi), mereka akan menyedari perasaan terdesak bagi mendapat perhatianlah yang menyebabkan wanita-wanita barat begitu ghairah dengan fesyen). Wanita yang mementingkan adab dan kesopanan tidak akan terperangkap dengan suasana yang memperdayakan ini. Mereka bangga dengan apa yang mereka miliki. Ingatlah ini apabila anda bersimpati dengan wanita-wanita Islam...

Media massa merangsang seks bebas

Monday, January 11, 2010

Pornografi menjadi sebuah industri yang besar pada hari ini. Segala bentuk media massa digunakan bagi menyalurkan adegan-adegan lucah. Pada tahun 2003, 83% episod yang ditayangkan dalam 20 rancangan TV yang diminati remaja belasan tahun di Amerika mengandungi gambar-gambar lucah dan 20% daripadanya menunjukkan adegan hubungan seks secara jelas. Di samping itu, unsur-unsur seks juga terdapat dalam lagu-lagu yang diminati remaja pada hari ini. Sebagai contoh, pada tahun 1999, 42% daripada lagu-lagu Inggeris yang popular mengandungi lirik-lirik lucah dan 19% daripadanya menceritakan mengenai hubungan seks. Hal ini dinyatakan di Focus Adolescent Services (Online) di http://www.focusas.com/

Pada hari ini, antara media yang begitu ghairah memaparkan gambar-gambar dan adegan-adegan lucah adalah internet. Mengikut Internet Filter Review 2006, di bawah tajuk Internet Pornography Statistics, terdapat 4.2 juta laman web dengan 372 juta helaian keseluruhannya (pages) yang memaparkan adegan-adegan lucah di seluruh dunia. Dalam masa setahun, jumlah mereka yang menziarahi laman-laman web lucah ini mencecah 72 juta orang. Kebanyakan pelanggan yang menziarahi laman-laman ini adalah remaja dalam lingkungan umur 12 hingga 17 tahun.

Kajian yang dilakukan oleh MSNBC pada tahun 2004 ke atas 15 000 pengguna internet mendapati, 32% daripada golongan wanita dan 13% daripada pihak lelaki berpendapat internet menggalakkan penzinaan. Dalam kajian yang lain yang dimuatkan di BBC News Online, 30% pengguna internet yang bercinta melalui internet kemudiannya menemui kekasih mereka dan berzina di alam nyata.

Kajian di Britain menunjukkan fenomena ini menjadi sebab musabab meningkatnya peratus perceraian dalam masyarakat. Hal ini didedahkan di dalam buku bertajuk In Bed With The Web: Internet And The New Adultery. Salah seorang penulis buku ini adalah Yannick Chatelain.

Industri pornografi begitu menguntungkan. Ia mendatangkan pulangan haram yang lumayan. Mengikut Internet Filter Reviews 2006, industri pornografi mengaut keuntungan keseluruhan berjumlah $57 bilion dalam masa setahun, majoritinya (iaitu $20 bilion), melalui video-video seks lucah.

Benarlah kata nabi yang bermaksud "Akan muncul daripada umatku mereka yang menghalalkan perbuatan zina, menghalalkan sutera bagi lelaki, meminum arak dan lagu-lagu yang melalaikan". Hadis ini direkodkan oleh Bukhari.

Secara dasarnya, Islam mengutuk segala bentuk penzinaan dan segala perkara yang membawa kepadanya diharamkan oleh Islam. Allah menjelaskan dalam surah al-Israk ayat 32, "Dan janganlah kamu mendekati zina. Sesungguhnya zina adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk".

Oleh sebab aspek pemeliharaan keturunan adalah penting dalam Islam, syariat Islam memeliharanya dengan mengizinkan pergaulan serta percampuran antara lelaki dan perempuan melalui perkahwinan yang sah. Sebaliknya, mereka yang berzina dihukum dengan keras oleh agama.

Sebenarnya, alat kelamin adalah amanah. Justeru, ia perlu dipelihara berpandukan landasan syariat. Berhubung dengan ini sahabat Abdullah bin Amr bin al-As berkata, "Amanah adalah alat kelamin manusia. Sekiranya manusia mampu menjaga amanah ini, Allah akan memelihara dirinya dan keturunannya". Artikel ini diperoleh daripada buku hasil tulisan Dr. Danial Zainal Abidin yang bertajuk QURAN SAINTIFIK : Meneroka Kecemerlangan Quran Daripada Teropong Sains.

Gugurkan tuntutan

Akhbar Herald-The Catholic Weekly perlu bersedia menggugurkan kes tuntutan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam di mahkamah berikutan perkembangan yang semakin membimbangkan hingga mengakibatkan beberapa gereja dibakar.

Presiden Majlis Jaksa Pendamai Malaysia, Datuk Clarence Bongkos Malakun berkata, langkah tersebut perlu untuk keamanan dan kestabilan rakyat berbilang kaum di negara ini.

‘‘Sudah tiba masanya kita, masyarakat Kristian khususnya Katholik membuat penilaian kepada keadaan sekarang demi keselamatan dan ketenteraman awam supaya dengan senang hati menggugurkan perkataan Allah untuk menenangkan saudara Islam kita.

‘‘Daripada terus mendesak hak untuk menggunakan perkataan Allah adalah lebih baik jika Katholik hanya menggunakan perkataan ‘Tuhan’ atau ‘Tuhan Yang Maha Kuasa’.

‘‘Biarlah saudara Islam kita sahaja yang menggunakan perkataan Allah untuk kebajikan supaya kita dapat hidup aman damai dan harmoni di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kelmarin, dua gereja – satu di Desa Melawati, Kuala Lumpur dan satu lagi di Jalan Templer, Petaling Jaya – mengalami kebakaran manakala satu lagi juga di Petaling Jaya menerima ugutan.

Kejadian itu mendapat kecaman daripada parti komponen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang selain turut mengundang reaksi serupa dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang melawat gereja di Desa Melawati, semalam, mengumumkan peruntukan RM500,000 untuk membolehkan pentadbiran gereja itu membuka rumah ibadat baru di kawasan lain.

Sementara itu Clarence berkata, alasan sesetengah pemimpin Kristian bahawa kalimah Allah perlu dibenarkan hanya kerana ia sudah digunakan sejak sekian lama adalah tidak wajar.

Tegas beliau, Kristian di negara ini juga tidak sama seperti diamalkan di Indonesia, Mesir, Iraq atau Yemen kerana Malaysia mempunyai perlembagaan yang berbeza.

‘‘Tidak harus bagi kita mempertikai yang Allah biasa digunakan oleh masyarakat Kristian di negara luar kerana kita berada di Malaysia, jadi kita harus patuhi semua undang-undang dan peraturan.

‘‘Adakah kalau kita atau pihak gereja tidak gunakan perkataan Allah maka secara tiba-tiba para pengikut agama Kristian akan bertambah atau berkurang 10 kali ganda,” soalnya.

Beliau sedar ramai penganut Kristian akan mengkritik pendiriannya tetapi mereka perlu faham dan menghayati ajaran agama itu yang menyuruh pengikutnya memaafkan orang lain.

“Jika kita benar-benar Kristian, kita harus jadi orang yang memaafkan, bertanggungjawab dan cintakan keamanan. Kenapa kita harus bergaduh untuk satu perkataan,” ujarnya.

Clarence yang juga Pengerusi Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah berkata, umat Kristian perlu faham mengapa orang Islam amat marah apabila kalimah itu dibenarkan penggunaannya.

Jelasnya, Allah adalah Tuhan bagi orang Islam manakala orang-orang Kristian pula lain kepercayaannya dan kalimah itu juga sudah lama digunakan secara tradisinya oleh agama Islam.
Apa pandangan anda semua???